Latar Belakang Politeknik Muadzam Shah!

Ditulis oleh; Politeknik Muadzam Shah on


Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah memulakan operasinya pada 1 Ogos 2003 dan merupakan Politeknik yang ke 19 Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pada awal penubuhannya, Politeknik Muadzam Shah beroperasi di kampus sementara di Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah. Sebuah bangunan  sekolah 3 tingkat, 2 buah makmal dan dua buah asrama telah dipinjamkan oleh pihak sekolah bagi permulaan operasi Politeknik Muadzam Shah.

Politeknik Muadzam Shah menerima kumpulan kakitangan perintis yang pertama pada tahun 2006. Seramai lebih kurang 20 orang staf yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan sokongan dan ketua-ketua jabatan memulakan tugas rasmi mereka yang bermula pada Ogos 2003.

Jumlah itu kemudiannya bertambah pada tahun 2004, apabila seramai lebih kurang 50 kakitangan yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan akademik melapor diri di Politeknik Muadzam Shah.

Pada peringkat awal, hanya dua program yang ditawarkan iaitu Sijil Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dan Sijil Pengajian Perniagaan. Operasi politeknik semakin lama semakin berkembang dengan pertambahan jumlah pelajar.

Politeknik Muadzam Shah telah mengeluarkan  graduan sulungnya seramai 63 orang dari pengambilan sesi Januari 2004 dan 77 orang dari sesi Julai 2004. Sebagai graduan perintis, mereka mendapat bimbingan daripada  kakitangan akademik  yang komited dalam melahirkan pelajar berilmu pengetahuan dan berkemahiran. Manakala bahagian pengurusan dan pentadbiran pula digerakkan melalui kerjasama staf yang terdiri daripada kumpulan kakitangan pengurusan & profesional dan kakitangan sokongan.

Politeknik Muadzam Shah mempunyai kumpulan pengurusan yang beriltizam untuk menjadikan politeknik ini sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu dan kemahiran yang  terunggul di negara ini.

Pada awal 2006, Politeknik Muadzam Shah kemudiannya terpaksa menyewa Bangunan Galeri Ilmu melalui Majlis Daerah Rompin sebagai penempatan sementara bagi menempatkan Unit Pentadbiran, Unit Kewangan, Unit Stor, Unit Instruksional dan Multimedia dan Unit Pembangunan dan Penyenggaraan serta Kamsis pelajar lelaki.

Bermula dengan perpindahan dan penempatan sementara itu, kini segala urusan pentadbiran akan dilakukan dan dilaksanakan di Bangunan Galeri Ilmu.

Logo Politeknik Muadzam Shah diilustrasi berdasarkan seekor gajah dan dipilih berikutan PMS terletak di Negeri Pahang yang dikenali sebagai Negeri Tok Gajah. Logo ini mengilustrasikan huruf P dan M yang menunjukkan kepala, belalai dan badan gajah, manakala S adalah lingkaran merah sebagai singkatan pada nama Politeknik Muadzam Shah.


Logo lama Politeknik Muadzam Shah

Maksud Logo Politeknik Muadzam Shah


-Objek ini menggambarkan huruf M – MUADZAM
-Objek ini pula menggambarkan huruf S – SHAH
-Objek ini membawa maksud bahawa Politeknik Muadzam Shah merupakan Politeknik kedua yang terdapat di Negeri Pahang selepas Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)
-Objek ini menggambarkan huruf P – POLITEKNIK
-Signifikan daripada objek ini, menggambarkan gajah dengan belalai serta gadingnya.

Maksud-maksud Warna Logo Politeknik Muadzam Shah


Biru Tua – Melambangkan perpaduan dalam kalangan seluruh warga Politeknik Muadzam Shah dan ianya juga menggambarkan kestabilan pengurusan di Politeknik. Ini kerana Politeknik Muadzam Shahtelah menggariskan penerapan nilai-nilai murni dalam aspek pentadbiran dan akademiknya seperti bertanggungjawab, amanah, berkerja sebagai satu pasukan dan sentaiasa mempunyai sifat sling membantu dalam kalangan pelajar dan juga kakitangan.

Biru Muda – Melambangkan kedamaian dan keharmonian. Ini kerana politeknik ingin memupuk dan menanamkan sifat cintakan politeknik dalam kalangan kakitangan dan pelajar-pelajarnya. Politeknik Muadzam Shahingin membentuk satu kumpulan yang dapat menaikkan dan mengharumkan nama politeknik di mata masyarakat Malaysia.

Kuning – Melambangkan sifat taat setia. Warga Politeknik Muadzam Shah diingatkan agar sentiasa taat dan setia serta patuh kepada Politeknik, Peraturan-Peraturan Politeknik, Disiplin Politeknik, Peraturan-Peraturan Am Kerajaan dan taat setia serta patuh kepada Kerajaan dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Merah – Melambangkan kekuatan  semangat. Politeknik Muadzam Shah ingin melahirkan warga politeknik yang mempunyai semangat dalam berbagai aspek seperti semangat berpasukan, semangat cintakan politeknik dan Negara, semangat dalam menaikkan nama politeknik, semangat untuk belajar dan menjadi pelajar yang cemerlang dan bersemangat dalam apa jua aktiviti yang dijalankan.

Logo baru Politeknik Muadzam Shah

Politeknik Muadzam Shah telah menerima anugerah Sijil MS ISO 9001:2000 oleh SIRIM QAS International Sdn.Bhd pada 6 Oktober 2006, dengan skop pendaftaran Perkhidmatan Pendidikan di Peringkat Sijil dalam Bidang Teknologi Maklumat Dan Perdagangan untuk lulusan SPM/SPVM. Kini PMS telah memperbaharui pensijilan MS ISO 9001:2008 pada 6 Oktober, 2009.

Bagi kemasukan pelajar baru Sesi Jun 2011, PMS telah menawarkan sebanyak 7 program di peringkat diploma iaitu;

  •     Diploma Kejuruteraan Mekanikal ( Rekabentuk Pembuatan Automotif)
  •     Diploma Kejuruteraan Mekanikal ( Rekabentuk Produk)
  •     Diploma Kejuruteraan Mekanikal ( Automasi)
  •     Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan)
  •     Diploma Teknologi Maklumat (Rangkaian)
  •     Diploma Pengajian Perniagaan
  •     Diploma Akauntansi
  •     Diploma Rekabentuk Grafik
  •     Diploma Pengurusan Pelancongan
Dibawah 5 jabatan induk iaitu:
  •     Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
  •     Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi
  •     Jabatan Perdagangan
  •     Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual
  •     Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti
  •     Jabatan Matematik Sains dan Komputer
  •     Jabatan Pengajian Am
Sesuai dengan moto ‘Penjana Minda Strategik’, PMS akan terus berusaha mencapai kualiti yang ditetapkan sebaris dengan institusi pegajian yang lain serta berusaha mencapai kecemerlangan Visi dan Misi yang dipegang oleh semua warga PMS.


Kami warga PMS sentiasa berusaha meningkatkan sistem kualiti dari pelbagai aspek terutama aspek pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan komprehensif. PMS juga akan melaksanakan penambahbaikan yang berterusan dalam Sistem Pengurusan Kualiti demi memastikan kecemerlangan pendidikan sentiasa dapat ditingkatkan. PMS juga akan maju setapak lagi dalam usaha mendapatkan akreditasi Malaysian Qualification Agency (MQA).

Mengenai Penulis:

Azri Abd. Rajid mula terlibat dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007. Beliau sebenarnya berasal dari Keningau, Sabah dan kini menabur bakti di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Twitter | Facebook

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment